555af15d4a804b6fa85f2074800252cb_1200

Kembar Perodua Nexis D66B, Toyota Yaris Cross Masuk Rally Thailand, Ambil Tempat Pertama dalam Kategori

Kejohanan Rally Thailand RAAT memulakan musim 2024 di Wilayah Chacheongsao pada hujung minggu lepas dan Toyota Gazoo Racing Thailand (TGRT) menurunkan Toyota Yaris Cross untuk pertandingan tahun ini.

TGRT menamatkan perlumbaan pada 7 April di tempat ke-18 secara keseluruhan daripada 52 penyertaan tetapi membawa pulang tempat pertama dalam kategorinya. Pasukan itu memasuki kategori RC 2.1 iaitu untuk penyertaan pacuan 2 roda berenjin turbo dan juga satu-satunya pasukan mewakili kategori tersebut.

Walaupun terdapat perkataan ‘turbo’ dalam nama kategori, Yaris Cross yang bertanding pada pusingan pertama Rally Thailand 2024 nampaknya serupa dengan versi hybrid yang dijual di Thailand ketika ini. Ini dinyatakan oleh lencana HEV yang dilihat dalam gambar.

Tiada versi pengecas turbo (turbocharged) Yaris Cross berasaskan DNGA ditawarkan. Mungkin bantuan motor elektrik untuk sistem kuasa hybrid dianggap sebagai “peningkatan” kepada enjin oleh penganjur.

Di Thailand, model crossover ini hanya tersedia sebagai hybrid yang menggabungkan enjin empat silinder 1.5 liter aspirasi semula jadi (NA) 2NR-VEX (91 PS/121 Nm) dengan motor elektrik 80 PS/121 Nm. Di beberapa pasaran seperti Indonesia, Taiwan, dan Kemboja, crossover ini juga tersedia dengan enjin 1.5 liter NA 2NR-VE yang menghasilkan 106 PS dan 138 Nm.

Walaupun tiada maklumat dikeluarkan oleh Toyota Motor Thailand atau TGTR mengenai spesifikasi kereta rally Yaris Cross, kemungkinan ia berkongsi rangkaian kuasa yang sama dengan varian standard versi Thailand. Berdasarkan gambar, kereta rally dilengkapi dengan tayar off-road yang lebih tebal, sangkar keselamatan (roll cage), penutup lumpur, dan bonet hadapan yang boleh tanggal dengan cepat (quick-release).

Pusingan seterusnya Kejohanan Rali Thailand dijangka diadakan pada 25 dan 26 Mei 2024 dengan lokasi akan diumumkan kemudian.

Toyota Yaris Cross mungkin dilancarkan di Malaysia pada tahun ini tetapi sebelum ketibaannya, kembarnya dari Perodua akan tiba dahulu. Dinamakan kod D66B, SUV itu dispekulasikan akan dipanggil Perodua Nexis.

Sumber : WapCar

Share this post

Scroll to Top